Hujan turun badan pun basah,
Patah galah haluan perahu;
Hajat di hati tak nak berpisah,
Kuasa Allah siapa yang tahu.
Pulau Pangkor lautnya dalam,
Sampan sekaki dihanyut ombak;
Kalau diukur kisah silam,
Remuklah hati kerana sebak.
Menanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar di kitab Allah.
Anak ikan kena campak,
Ikan senangin malu-malu;
Kita di sini bukanlah nampak,
Cuma dikhabar angin yang lalu.
Mudik perahu bersarat barang,
Dari Tembeling sampai ke Pekan;
Walau jauh di negeri orang,
Hati sering di kampung halaman.
Pulau Tioman indah nian,
Teluk Cempedak melambai-lambai;
Diri kawan sungguh kasihan,
Melayang-layang ibarat tirai.
Sungguh galak terbang merpati,
Jauh dari helang raksasa;
Sungguh sebak rasa di hati,
Jauh dari keluarga didesa.
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Bangun pagi sembahyang subuh,
Minta doa pada Tuhan.
Pucuk gelam di atas peti,
Peti kaca beralas baldu;
Remuk redam rasanya hati,
Bagai kaca terhempas ke batu.
3 comments:
byk nyer,..sume wat sendrik ek? bgus2
hehe, ni hobi dulu2~
Tiiimang burung... anak raja turun ke tamaannnnn
He he ;-)
Post a Comment