Saturday, October 2, 2010

Gamelan Melayu

 Oleh: 
Muhammad Syaraff bin Alwi,
Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, 
Kuala Lumpur.

Gambar: Kumpulan Gamelan Pahang DiRaja


1. Asal usul

     Gamelan Melayu berasal dari istana Kerajaan Riau-Lingga di Pulau Penyengat Riau dipercayai sejak kurun ke-17 lagi (Farizan M. Razuri, 2010). Pertama kali dipersembahkan di Tanah Melayu pada 1811 di sebuah istana di Pekan, Pahang sempena perkahwinan Tengku Hussain, anakanda Sultan Abdul Rahman, Riau dengan Wan Esah adinda Bendahara Ali, Pahang.
     Kemudian kekallah ia di Pekan, Pahang dengan nama Joget Gamelan Pahang. Zaman kegemilangan ditempuhi pada kurun ke-19, zaman Sultan Ahmad Pahang apabila terdapat tiga buah kumpulan Joget Gamelan pimpinan Tengku Ampuan Pahang dan isteri-isteri baginda yang lain. Kumpulan pertama pimpinan Tengku Ampuan Fatimah, kedua pimpinan Cik Besar dan ketiga pimpinan Cik Zubedah (Zubaidah), (Mohd. Mokhtar Abu Bakar,1982). Kumpulan yang paling aktif ialah kumpulan pimpinan Cik Zubedah yang turut disertai puteri baginda, Tengku Mariam (Tengku Ampuan Terengganu).
     Kemangkatan Sultan Ahmad Pahang pada 1914 merencatkan perkembangan gamelan di Pahang kerana tiada lagi naungan DiRaja disebabkan pewaris takhta selepas baginda, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah kurang meminati kesenian ini.
     Akhirnya Tengku Ampuan Mariam membawa bersama set gamelan miliknya apabila baginda berkahwin dengan Sulltan Sulaiman Terengganu, anakanda kedua Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Cik Zubaidah juga turut sama bersemayam di Terengganu (Istana Kolam). Menurut Mohd. Mokhtar Abu Bakar (1982), baginda juga turut membawa jurutunjuk dan jurutari dari Pahang, Encik Mohd. Salleh dan Che Yang Khoja untuk mengembangkan kesenian ini di Terengganu.
     Oleh sebab Joget Gamelan ini sudah berkembang pesat dan gemilang di Terengganu, dinamakan pula sebagai Joget Gamelan Terengganu dan kumpulan pemuzik gamelan ditauliah sebagai 'Orkes Gamelan Terengganu' dan dinaungi Sultan Terengganu.
    Semasa Sultan Sir Abu Bakar Pahang menjadi Tengku Mahkota pada 1930, baginda mula menunjukkan minat terhadap gamelan. Usaha untuk menghidupkan gamelan ke dalam Istana Pahang bermula apabila baginda meminta Dato' Maharaja Perba Jelai, Wan Tanjung bin Wan Mohamed, Orang Besar Beremapat Pahang yang diam di Kuala Lipis Pahang agar membawa sebuah kumpulan gamelan Jawa dari Lipis untuk membuat persembahan disebabkan hanya kumpulan tersebut yang mempersembahkan gamelan di Pahang ketika itu.
     Akhirnya pada tahun 1973, setelah baginda menjadi Sultan Pahang, baginda telah meminta kembali set gamelan dalam jagaan Tengku Ampuan Mariam Terengganu untuk dihidupkan kembali gamelan di Istana Pahang, dengan sedikit tawar-menawar yang kurang menyenangkan dan baginda telah membayar saguhati sebanyank $25 000 kepada Tengku Ampuan Mariam Terengganu.
     Pada awal 2008, Sultan Haji Ahmad Shah Pahang, anakanda Sultan Sir Abu Bakar telah menamakan semula joget gamelan ini kepada Joget Gamelan Pahang  dan digelar baginda sebagai Kumpulan Gamelan Pahang DiRaja (Metra Syahril Mohamed, 2008). Lembaga Muzium Negeri Pahang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja pemeliharaan alat dan kesenian ini serta untuk persembahan ketika adat-istadat dan keramaian tertentu.
     Gamelan Melayu mula diperkenalkan kepada umum apabila Tan Sri Mubin Sheppard, pengkaji seni bina Melayu menemukan set gamelan di Istana Kolam Terengganu lalu memohon izin Tengku Ampuan Mariam untuk dihidupkan gamelan ini pada 1966 (Farizan M. Razuri, 2010). Kemunculan pertama Orkes Gamelan DiRaja Terengganu ialah pada 1969 di Pesta Muzik dan Drama Asia di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur diikuti pada 1970 sempena Temasha Seni Melayu yang turut menampilkan penari generasi baru.


2. Peranan muzik dalam masyarakat

     Gamelan Melayu asalnya bertujuan untuk hiburan eksklusif  DiRaja serta mengiringi majlis-majlis tertentu istana dan tergolong sebagai 'Royal Regalia".
     Namun kini gamelan berubah fungsi sebagai salah satu alat dalam pelajaran subjek Muzik, mengiringi majlis-majlis rasmi seperti konvokesyen IPT, perkahwinan atau persembahan kepada pelancong-pelancong.


3. Alat muzik yang terlibat

    Terdapat alat-alat idiofon (bunyi melalui cara diketuk atau dilaga permukaan), dan membranofon (bunyi melalui getaran membran atau kulit). Bagi alat idiofon ialah Keromong/Bonang, Saron Baron, Demong, Gambang, Kenong dan Gong. Alat membranofon ialah Gendang.

Demong

Gambang

Gendang

Gong Agung dan Suwokan

Kenong

Keromong / Bonang

Saron


4. Ciri-ciri dan konsep muzik

     Ciri -ciri muzik gamelan Melayu yang utama ialah tiga iaitu Ulang, Cincang  dan Turun Gambang. Dinamik yang agak lembut, tempo bergantung pada lagu dan jenis tarian, dan mengikut Ghouse Nasuruddin (1995), terdapat sistem gongan mengikut kiraan 16 bit atau 32 bit. (Rujuk buku beliau: Muzik Tradisional Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka).
     Dari segi irama, secara umumnya tanda masa atau meter setiap lagu adalah dalam 4/4 namun terdapat beberapa lagu yang lama bermeter 5/4. Banyak menggunakan kuaver dan krocet, hanya sesetengah lagu menggunakan not minim. Ostinato irama dapat ditemukan semasa fasa cincang.

     Dari segi harmoni pula menggunakan nada standard Bb, dan secara teksturnya pula adalah polifoni dan heterofoni ( heterofoni berlaku bila keromong dan gambang bermain melodi berbeza daripada melodi asal atau semasa cincang).
     Bentuk lagu ialah cyclic dan mempunyai intro dan koda (penamat lagu).  Koda biasanya secara ritardando dan lembut.  Warna ton berbeza bagi setiap alat dan yang paling signifikan ialah Gambang.
     Ekspresi lagu, dinamik dan tempo pula bergantung kepada kisah dalam lagu atau mengikut jenis tarian.


5. Gaya muzik

     Muzik gamelan Melayu adalah berunsur Majestic dan biasanya untuk mengiringi tariannya dan cerita dalam setiap lagu menentukan mud dan gaya muzik.



Rujukan:

Dr. Mohd Ghouse Nasuruddin. (1995). The Malay Dance. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr. Mohd Ghouse Nasuruddin. (2007). Traditional Malaysian Music. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan  
     Pustaka.
 Farizan M. Razuri. (2010). Gamelan Melayu. Pembentangan semasa bengkel Gamelan Melayu di Festival
     Gamelan Sedunia 2010 di Terengganu. 
Haji Ahmad Omar Haji Ibrahim. (2005). Joget Gamelan Terengganu & Pahang: Penerus Tradisi Seni 
     Persembahan Istana Kesultanan Melayu Melaka.Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian 
          dan Warisan Malaysia.
Metra Syahril Mohamed. (2008, 16 Disember). Gamelan Melayu alami kepupusan? -Utusan Malaysia,
     halaman berita semasa.
Mohd. Mokhtar Abu Bakar. (1982). Joget Gamelan Pahang: Satu Usaha untuk Menghidupkannya 
     Kembali. Monograf  Pahang dalam Sejarah. Bil. 1/1982. Pahang: Syarikat Percitakan Ihasan. 
          (m/s: 28-41)
Pak Margono Sitir. (1997). Pembentangan Kertas Kerja Gamelan di UKM sempena Simposium Gamelan
     UKM September 1997.
Tan Sri Haji Mubin Sheppard. (1967). Joget Gamelan Trengganu. Journal of Royal Branch Malayan 
     Asiatic Society. Vol. 4, Part I, 1967. (m/s: 149-152)


*Penulis mengakui karya ini adalah hasil kerja penulis sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang tiap-tiap satunya  telah penulis jelaskan sumbernya. Rujukan adalah mengikut format APA.

1 comment:

Seruling Senja said...

Berdasarkan beberapa bacaan kritis. Boleh digunakan untuk mereka yang membuat kajian, juga untuk subjek Pendidikan Muzik- Apresiasi Muzik Malaysia.