Saturday, September 22, 2012

NASYID


Asal Usul
Perkataan ‘nasyid’ atau ‘insyad’ dihasilkan daripada perkataan ‘nasyada’ dan kemudiannya menjadi ‘ansyada’ yang bermaksud berpuisi, bersajak, bersyair, mengalun suara atau berzikir.  Lagu-lagu nasyid adalah dendangan syair berirama Padang Pasir yang bertemakan Islam, bertujuan menyampaikan dakwah.
Nasyid terulung yang pernah direkodkan dalam sejarah Islam ialah semasa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah.  Baginda disambut dengan nyanyian lagu nasyid ‘Tola’al Badru’.  Di Malaysia, kegiatan nasyid diperkembangkan oleh para qari dan qariah yang telah menerima didikan ajaran Al-Quran secara langsung atau tidak langsung sejak sebelum Perang Dunia Kedua pada tahun 1940.
Nasyid pada asalnya didendangkan secara tidak rasmi di perkarangan rumah selepas mengaji al-Quran dalam keadaan duduk di atas lantai secara berkeliling.  Guru-guru mengaji, sementara murid bernasyid - proses pengajaran dan pembelajaran adalah secara peniruan (rote) dan secara berbalas-balas (call and response). 

Persembahan
Pada masa ini, nasyid dipersembahkan secara kumpulan besar, kumpulan kecil dan secara individu atau solo di atas pentas dengan cara berdiri dalam barisan berkumpulan lelaki dan/ atau perempuan. Persembahan dalam kumpulan biasanya terdapat penyanyi solo yang menyanyikan bahagian melodi tertentu dalam sesebuah lagu.  Semasa persembahan, ada kumpulan yang langsung tidak membuat sebarang pergerakan dan ada juga yang membuat sedikit pergerakan yang tertib sesuai dengan mesej atau senikata lagu dengan tidak berlebih-lebihan atau tidak melampaui batas kesopanan.  Cara berpakaian setiap ahli nasyid biasanya mencerminkan budaya Islam.

Muzik
Lagu-lagu nasyid biasanya berlandaskan melodi Timur Tengah seperti Bayyati, Rast, Nahawand, Hijaz, Saba, Kurd, Sikah dan ‘Ajim yang digunakan dalam pembacaan al-QuranKebiasaannya nada yang digunakan ialah nada minor.  Walau bagaimanapun pencipta lagu nasyid pada masa ini, tidak lagi menghadkan ciptaan mereka dalam nada minor sahaja, malahan menggunakan juga nada major. 
Lagu-lagu nasyid lazimnya dalam bentuk AAAA, AAAB, AABA dan ABCD dan mempunyai tekstur monofonik.  Rentak yang biasa digunakan ialah rentak masri.  Kini, banyak lagu-lagu nasyid telah digubah dalam berbagai rentak supaya lebih banyak variasi dan kedengaran lebih menarik. 
Pada asalnya nasyid di Malaysia menggunakan senikata dalam bahasa Arab Klasik tetapi kemudiannya berkembang dengan penggunaan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.
Pada peringkat permulaan nasyid diperkenalkan, ia dipersembahkan secara a capella iaitu tanpa menggunakan muzik iringan.  Perkembangan muzik sezaman kemudiannya juga turut mempengaruhi nasyid dan mula menggunakan alat-alat muzik membranofon seperti rebana dan kompang pada zaman 1940-an sebagai muzik iringan; pada tahun 1950-an nasyid diiringi oleh kumpulan ghazal atau asli; pada tahun 1960-an oleh kugiran; pada tahun 1970-an oleh orkes dan seterusnya oleh orkestra sehinggalah penggunaan sintesizer dan juga muzik ‘minus one’.

Fungsi
Fungsi utama nasyid ialah untuk menyampaikan dakwah mengingatkan manusia khususnya kaum muslimin mengenai ajaran-ajaran al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad S.A.W serta menerapkan nilai kehidupan, moral dan akhlak yang baik.  Selain dari itu, ia juga menjadi hiburan dan sebagai acara sampingan sempena pertandingan membaca al-Quran peringkat negeri, kebangsaan, antarabangsa dan juga dalam majlis-majlis yang lain.  Pada tahun 1990-an, nasyid mula dipertandingkan di peringkat sekolah, negeri dan juga kebangsaan.

Nasyid Malaysia
Nasyid  di Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sehinggalah wujudnya fenomena baru iaitu industri muzik nasyid melalui kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan, Brothers, Rabbani, Hijjaz, Huda, dan juga penyanyi-penyanyi nasyid perseorangan seperti An-Nur, Imad, Khairil Johari Johar, Sharifah Aini dan lain-lain.

Monday, September 17, 2012

Mentari Terbenam

17/09/2012, Sabtu - Lama betul tak jenguk blog ni... Sekian lama 'tertinggal', sukar untuk memulakan semula. Blog yang menjadi segala curahan, perkongsian, luahan dan bermacam-macam lagi, terbengkalai begitu sahaja...

          Seperti Mentari Terbenam, hilang begitu sahaja. Namun, aku menunggu masa untk terbit kembali, memberikan sinaran...

Bilakah mentari terbenam akan terbit kembali.....


Menanti penuh harapan...
Semoga kekuatan itu kembali... Begitu banyak kisah dan pengalaman yang aku ingin kongsikan, namun kesempatan itu yang sedang aku cari di celahan ruang yang ada ini....

~Bila Ku Berlagu~

Monday, March 5, 2012

BOLA TAMPAR

Pengenalan 

Asal usul bola tampar telah mencetuskan perdebatan yang hangat. Walaupun asal usulnya tidak jelas, adalah dipercayai bahawa permainan yang hampir sama dengan bola tampar telah dimainkan beberapa ratus tahun dahulu di Amerika Tengah dan Selatan serta di Asia Tenggara. Howard Keith (1942) di dalam bukunya Sports and Games telah melaporkan bahawa bola tampar di Amerika telah diubahsuai daripada Fraust Ball yang diperkenalkan di Jerman pada tahun 1893. Begitu juga dengan permainan Minton yang dibawa ke Amerika oleh David McConnaughly Jr. pada tahun 1895. Kedua-dua jenis permainan tersebut mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan bola tampar Morgan. Walau bagaimanapun, Morgan tetap berpendirian bahawa beliaulah yang telah mencipta permainan bola tampar. 

Permainan bola tampar mula diperkenalkan pada tahun 1895 di Gimnasium Y.M.C.A., Springfields, Massachusettes, Amerika Syarikat oleh Prof.William J. Morgan (1870-1942) sebagai suatu permainan rekreasi. Morgan sebagai seorang pengarah fizikal telah dipertanggungjawabkan untuk mencipta suatu permainan rekreasi untuk sekumpulan lelaki yang enggan bermain bola keranjang. Pada peringkat mula, bola
keranjang dipukul dengan tangan supaya ia sentiasa di udara. Kemudian jaring diletakkan di tengah dan beberapa peraturan diwujudkan. Jaring ditinggikan kepada tujuh kaki namun bermain dengan bola keranjang telah menyebabkan tangan pemain menjadi sakit kerana menahan beratnya. Morgan seterusnya telah meminta
pertolongan syarikat Spalding untuk mencipta bola baharu yang dihasilkan dengan menggunakan kulit anak lembu. Sejak itu, permainan ini terus diminati dan diterima oleh Mesyuarat Pengarah Fizikal. Pada mulanya, bola tampar dikenali dengan nama Mintonette dan diubah kepada Volleyball oleh Prof H. T. Halstead pada tahun 1896. 

Populariti bola tampar bermula pada tahun 1900 apabila Kanada menjadi negara pertama menerimanya dan kemudiannya diperkenalkan ke India pada tahun yang sama. Sukan bola Tampar terus berkembang apabila ia diperkenalkan ke Cuba (1905), China (1906), Jepun (1908), Puerto Rico(1909) dan Filipina (1910) sebelum ianya diperkenalkan ke Eropah. 

Semasa Perang Dunia Pertama, tentera Amerika Syarikat memperkenalkan permainan bola tampar ke Eropah; Yogoslavia (1918), Czechoslovakia dan Poland (1919) serta Rusia (1922). Secara beransur-ansur permainan bola tampar telah
berkembang daripada peringkat permainan berbentuk rekreasi kepada sukan yang dipertandingkan. Pada tahun 1934, usaha pertama menubuhkan persatuan antarabangsa dan komisi khas telah bermula. Pada tahun 1936, usaha diteruskan semasa Sukan Olimpik Berlin tetapi telah diganggu oleh Perang Dunia Kedua.
Perkembangan tersebut telah menyebabkan banyak persatuan bola tampar ditubuhkan. Persatuan Bola Tampar Amerika Syarikat ditubuhkan pada tahun 1928 dan diikuti oleh Czechoslovakia, Poland, Rusia, Jepun dan Filipina. Perancis, Itali dan Belgium masing-masing telah menubuhkan persatuan bola tampar pada tahun 1936,1945 dan 1946. Pada tahun 1947, Federation Internasionale de Volleyball (FIVB), iaitu sebuah badan rasmi bola tampar dunia ditubuhkan dengan 14 ahli. Presiden pertama badan tersebut ialah Paul Libaud (Perancis) yang memegang jawatan selama 37 tahun. 


Peraturan 

Kawasan Permainan 

• Kawasan permainan merangkumi gelanggang permainan dan zon bebas. 

Dimensi 

➢Gelanggang permainan adalah sebuah segiempat tepat bersimetri berukuran 18x9m ,dikelilingi oleh satu zon bebas sekurang-kurangnya 3m lebar dan dengan suatu ruang bebas dari sebarang gangguan yang tingginya sekurang- kurangnya 7m dari permukaan permainan. 

➢Untuk pertandingan dunia FIVB ,zone bebas hendaklah berukuran sekurang- kurangnya 5m dari garisan tepi dan 8m dari garisan belakang.Ruang bebasnya hendaklah sekurang-kurangnya 12.5m tinggi dari permukaan permainan. 

Permukaan Permainan 

➢Permukaan mestilah rata ,mengufuk dan sekata. 

➢Untuk pertandingan dunia FIVB ,hanya permukaan kayu atau bahan sintetik sahaja dibenarkan .Semua permukaan mestilah terlebih dahulu diluluskan oleh FIVB. 

➢Permukaan permainan mestilah bebas dari sebarang punca-punca yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pemain .Adalah tidak dibenarkan bermain di atas permukaan yang kasar atau licin. 

➢Bagi gelanggang dalam dewan,permukaan permainan mestilah berwarna cerah Untuk pertandingan dunia FIVB ,warna putih bagi garisan dan warna yang 

berlainan bagi gelanggang permainan dan zon bebas adalah diperlukan . 

➢Bagi gelanggang terbuka di luar ,kecuraman 5mm semeter dibenarkan untuk pengaliran air.Garisan gelanggang yang diperbuat daripada bahan pejal tidak dibenarkan. 

Peralatan 

➢Peralatan permain terdiri daripada jersi,seluar pendek dan kasut sukan. Jersi,seluar pendek dan stokin mestilah seragam ,bersih dan sama warna untuk satu pasukan.Semasa pertandingan dunia FIVB untuk dewasa,warna kasut mestilah seraga untuk sesuatu pasukan tetapi jenamany boleh berbeza warna. 

➢Kasut mestilah ringan dan mudah lentu dengan tapak getah atau kulit tanpa tumit. 

➢Jersi pemain mestilah bernombor dari 1 hingga 18 terangkum. 

➢Nombor-nombor tersebut mesti dilekatkan pada tengah bahagian depan dan belakang. 

➢Warna nombor mestilah jelas dan muda dibeza daripada warna jersi dan mempunya ketinggian minimum 10cm di depan dan 1cm di belakang.Lebarnya jalur yang membentukkan nombor-nombor tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 2cm. 

Bola 

➢Bola hendaklah berbentuk sfera, diperbuat daripada suatu lapisan kulit yang mudah lentur dengan satu pundi getah atau bahan yang serupa di dalamnya. 

➢Warna : Seragam dan cerah
➢Ukur lilit : 65-67 cm
➢Berat : 260-280 gram 

➢Tekanan di dalam : 0.30-0.325g/cm 

Pertukaran Yang Dibenarkan 

➢Jika kedua-dua pasukan tiba untuk sesuatu perlawanan dengan memakai jersi yang sama warna ,maka pasukan tuan rumah mesti tukar jersinya .Di gelanggang berkecuali ,pasukan yang disenaraikan terdahulu pada jadual pertandingan mesti menukar jersinya. 

➢Referi pertama boleh membenarkan seorang atau beberapa orang pemain: 

Bermain tanpa kasut 

Menukar jersi yang basah semasa selangan set atau selepas penggantian pemain,dengan syarat jersi baru itu mempunyai warna,corak dan nombor yang sama. 

➢Dalam cuaca yang sejuk ,referi pertama boleh membenarkan pasukan bermain dengan pakaian latihan, dengan syarat mempunyai warna dan corak yang sama bagi keseluruhan pasukan dan dinomborkan dengan betul. 

Objek dan Pakaian yang Dilarang 

➢Adalah dilarang memakai objek-objek yang boleh menyebabkan kecederaan atau memberi sesuatu kelebihan yang tidak semula jadi kepada pemain. 

➢Pemain boleh memakai cermin mata atau risiko sendiri. 

➢Adalah tidak dibenarkan memakai pakaian seragam yang tidak mempunyai nombor yang rasmi atau warna yang berbeza daripada pemain lain. 

Kesalahan-kesalahan Dalam Memainkan Bola 

➢Pukulan Empat Kali 

Sesuatu pasukan didapati melakukan kesalahan jika memukul bola sebanyak empat kali (tidak termasuk bola yang dihadang) sebelum menghantarkannya semula ke pihak lawan. 

➢Bola Dipegang 

Kesalahan berlaku jika seseorang pemain didapati tidak memukul bola dengan jelas atau memegang dan melambung bola. 

➢Sentuhan Dua Kali 

Kesalahan juga berlaku apabila seseorang pemain memukul bola dua kali berturut-turut atau bola itu menyentuh beberapa bahagian badan secara berturut-turut (kecuali pukulan penerimaan bola pertama). 

➢Menyeberangi Jaring 

Semasa mengadang, seseorang pengadang boleh menyentuh bola pihak lawan  tanpa mengganggu pemain pihak lawan sebelum atau semasa pihak lawan membuat pukulan serang. 


Kemahiran Asas 

1. Kemahiran servis 

Servis dilakukan untuk memulakan permainan.Servis dilakukan dari bahagian belakang luar gelanggang.Terdapat dua jenis servis,iaitu servis bawah tangan dan servis atas kepala. Servis Atas Kepala Kawasan kontak bola dalam servis bawah tangan adalah pada bahagian lengan. 

Kaki dominan di belakang .
Fleksi kedua-dua belah lutut.
Pegang bola pada aras atas pinggang.
Ayun tangan dan kontak bola pada aras pinggang.
Pukul pada bahagian bawah bola.
Tangan memukul ke arah sasaran. 

2. Kemahiran menyangga 

Menyangga ialah kemahiran mengawal bola yang diterima. Kemahiran ini juga bertujuan untuk menaikkan atau melambungkan bola ke udara 

Fleksi kedua-dua belah lutut. 

Luruskan kedua-dua belah tangan di hadapan badan.
Kontak bola pada lengan tangan.
Kedua-dua belah tangan ikut arah pergerakan bola. 

3. Kemahiran mengumpan 

Mengumpan ialah kemahiran melambungkan bola ke udara bagi membolehkan rakan sepasukan melakukan rejaman 

Fleksi kedua-dua belah lutut.
Kedua-dua belah tangan di atas kepala.
Kontak bola di hadapan dahi.
Luruskan siku dan lutut serentak.
Kedua-dua belah tangan arah ke sasaran. 

4. Kemahiran merejam 

Merejam ialah kemahiran untuk mematikan bola dalam gelanggang pihak lawan bagi mendapatkan mata.Pemain perlu memukul bola dengan tapak tangan dengan kencang ke kawasan pihak lawan. 

Bergerak ke arah bola.
Lompat dengan kedua-dua belah kaki.
Kontak bola dengan tangan lurus.
Pukul pada bahagian atas bola.
Fleksi kedua-dua belah lutut semasa mendarat. 

5. Kemahiran menghadang 

Mengadang ialah kemahiran untuk menghalang rejaman yang dilakukan oleh pihak lawan.Kemahiran ini memerlukan kuasa otot kaki semasa melakukan lompatan. 

Badan dan tapak tangan menghadap jaring.
Lompat dengan kedua-dua belah kaki.
Luruskan kedua-dua belah tangan ke atas.
Jarakkan jari-jari tangan.
Mata pandang arah pergerakan bola.
Fleksikan kedua-dua belah lutut semasa mendarat 


Latihan Ansur Maju 

Latihan Membuat Servis 

Latihan servis patut dilakukan pada permulaan,petengahan dan akhir sesi latihan untuk menyesuaikan diri pemain dengan suasana permainan sebenar. 

1. Servis dilakukan ke arah dinding melepasi garisan 7m.Latihan dimulakan pada jarak 3m,6m dan seterusnya 9m.Latihan diadakan secara berseorangan 

2. Servis dilakukan secara berpasangan daripada garisan tepi gelanggang.Pemain melakukan servis secara bergilir-gilir. 

3. Dalam latihan ini,servis dilakukan secara berpasangan dan bola dipukul melepasi jaring.Servis bermula pada jarak 3m,6m dan 9m 

4. Untuk latihan ini,tali direntang 1 meter di atas jaring.Servis dilakukan secara berpasangan dan bola mesti melepasi ruang antara paras atas jaring dan tali 1 meter tersebut 

5. Pemain melakukan servis dan menghantar bola ke gelanggang lawan yang telah dipetakkan dan dinomborkan 1-6.Pemain melakukan servis sercara berseorangan mengikut giliran dan menghantar bola ke petak-petak tersebut mengikut turutan nombor dari 1 hingga 6 

6. Servis dibuat melepasi jaring dan dihantar ke tempat yang ditetapkan ,iaitu di tempat rakannya berdiri.Rakan pasangan ditugaskan mengutip bola dan bertukar peranan setiap lima servis.Bola yang dikutip dileret ke arah pembuat servis. 

7. Latihan servis ini dilakukan mengikut kumpulan dengan bilangan pemain antara empat atau enam orang.Pemain melakukan servis secara serentak tetapi mengikut giliran daripada seorang ke seorang pemain.Bola yang masuk ke gelanggang pihak lawan termasuk bola yang menyentuh jaring adalah dikira.Masa tiga minit diberi dan bilangan servis yang berjaya dikira.Ulang latihan sebanyak dua kali. 

8. Latihan ini dilakukan tanpa giliran ,pemain melakukan servis sebanyak mungkin dalam tempoh tiga minit.Dua orang pemain ditugaskan untuk mengira bilangan bola yang berjaya dihantar ke gelanggang pihak lawan.Manakala dua orang pemain pula ditugaskan untuk mengutip bola. 

Latihan Membuat Mengumpan 

1.Perseorangan .Pemain melambung bola tinggi ke atas dengan postur hantaran atas dan menangkap bola dengan postur yang sama.Ulang sebanyak 10 kali. 

2. Perseorangan Pemain melambung bola ke atas dengan postur hantaran atas dan menyambut bola selepas ia melantun daripada lantai.Ulangi
sebanyak 10 kali. 

3.Berpasangan .Pemain A melambung bola lalu ditangkap oleh pemain B.Pemain B akan terus melambung tinggi ke atas untuk ditangkap oleh pemain A.Kedua-dua pemain membuat lambungan dan tangkapan secara berglir-gilir dengan postur hantaran atas.Ulangi sebanyak 10 kali. 

4. Berpasangan.Perlakuan yang sama seperti latihan 3 tetapi bola dilambung dan ditangkap oleh pemain B hanya selepas bola melantun daripada lantai.Lakukan latihan tersebut secara bergilir-gilir sebanyak 10 kali. 

5.Berpasangan .Pemain A melambung bola kepada pemain B.Pemain B membuat hantaran atas tanpa menangkapnya.Cuba perhatikan bahawa bola tidak terjatuh.Perlakuan ini diulang sebanyak 10 kali sebelum kedua-dua pemain bertukar peranan. 

6. Berpasangan Latihan dimulakan dengan pemain A melambung bola Pemain B membuat hantaran terus kepada A dan hantaran dibuat berulang-ulang dengan hantaran dipastikan tinggi.Teruskan latihan sehingga diberi isyarat oleh jurulatih. 

7. Berpasangan Pemain A melambung bola ke hadapan pemain B .Pemain bergerak pantas ke bawah bola untuk menerimanya,tangkap dan tolak bola kepada pemain A.Ulang sebanyak 10 kali dan tukar peranan antara kedua-dua pemain. 

8.Berpasangan.Ulang latihan 7 dengan menghantar bola ke kiri dan ke kanan antara kedua-dua pemain 

9.Berpasangan Ulang latihan 7 dan 8 Dalam latihan ini,penerima terus menghantarkan bola tanpa menangkapkan terlebih dahulu. 



Latihan Membuat Menyangga 

1.Perseorangan.Dalam kedudukan berdiri,pemain melambungkan bola kemudian membengkokkan lutut untuk menerima bola selepas ia melantun dari lantai gelanggang .Pemain menggunakan kedua-dua belah tangan untuk menerima bola dengan postur hantaran bawah yang betul. 

2. Berpasangan. Pemain A bersedia dalam kedudukan melutut dan kedua-dua tangan dalam kedudukan menerima bola,terletak di antara dua kaki.Pemain A mengayunkan tangan ke atas untuk memukul bola yang dilepaskan oleh pemain B dari paras tertinggi.Titik sentuhan bola ialah sebelum tangan selari dengan lantai. 

3.Berpasangan .Pemain A melambung bola tinggi supaya ia melantun kira-kira satu meter di hadapan pemain B.Pemain B merendahkan badan dalam postur hantaran bawah dan memukul bola kepada A.Ini diulang sebanyak 10 kali dan kemudian bertukar peranan antara kedua-dua pemain. 

4.Berpasangan .Pemain A memulakan latihan dengan melambung bola kepada pemain B .Pemain B membuat hantaran bawah selepas bola melantun dari lantai.Pemain A juga berbuat demikian.Latihan ini boleh diteruskan sehingga diberi isyarat oleh jurulatih. 

5.Berpasangan .Pemain A melambung bola kepada pemain B .Pemain B bergerak untuk menyambut bola dengan membuat hantaran bawah semasa bola masih di udara.Tukar peranan selepas 10 hantaran. 

6.Berpasangan.Pemain A dan B membuat hantaran bawah bertubi-tubi supaya bola tidak terjatuh.Bilangan hantaran yang dapat dilakukan dikira sebelum bola terjatuh. 

7. Berpasangan .Dalam latihan ini,anda boleh gunakan bola tampar atau bola jarring atau bola keranjang.Pemain akan menerima bola dengan kedua-dua tangan,menghantarnya dengan hantaran bawah dan terus merendahkan
badan untuk menggulingkan bola.Perlakuan ini diulang sehingga isyarat
diberikan oleh jurulatih. 

8.Berpasangan Pemain menerima bola dengan kedua-dua tangan ,diikuti dengan tangan kanan,tangan kiri dan kemudian dengan dua belah tangan sekali lagi.Ini diulang secara bergilir-gilir sehingga diberi isyarat untuk berhenti oleh jurulatih. 

9.Berpasangan. Pemain menerima bola dengan memukulnya ke atas di hadapan diri sendiri,diikuti dengan pukulan ke arah rakan latihan,iaitu pemain A.Ini diulang secara bergilir-gilir sehingga diberi isyarat untuk berhenti oleh jurulatih. 

10.Berpasangan.Pemain membuat hantaran bawah semasa bergerak ke hadapan ,belakang,dan sisi.Pemain melambung bola secara bergilir-gilir. 

Merejam Bola 

1. Latihan penujuan secara perseorangan 

a. Pemain berdiri dalam satu barisan di belakang garisan serang. Apabila isyarat diberikan oleh jurulatih, penujuan tiga langkah ke hadapan dilakukan oleh semua pemain. 

b.Latihan (1) diulangi dengan pemain menghadap jaring dan berdiri pada garisan serang dalam tiga atau dua barisan. Selepas isyarat diberi, pemain di hadapan akan membuat penujuan tiga langkah dan selepas itu bergerak untuk berbaris di belakang 

c. Latihan yang sama seperti (2) diulangi dengan pemain berada dalam dua barisan. Pemain membuat penujuan mengikut giliran dari kedudukan di luar gelanggang. 

2. Latihan memukul bola berpasangan. Pemain B memegang bola dengan menghulurkan tangan ke atas. Pemain A memukul bola dengan gaya merejam. Perlakuan memukul diulang sebanyak 10 kali dan selepas itu kedua-dua pemain bertukar peranan 

3. Merejam bola yang dipegang secara berpasangan. Pemain A meletakkan bola di satu tapak tangan dan menghulurkannya ke atas untuk pemain B membuat rejaman. Ulang sebanyak 10 kali dan tukar peranan. 

4. Melompat dan menangkap bola secara perseorangan. Pemain melambung bola ke atas, lalu melompat dan menangkapnya pada takat tertinggi dengan gaya rejaman, iaitu menggunakan satu tapak tangan di hadapan bola dan satu lagi di belakang. Ulang perlakuan sebanyak 10 kali. 

5.Melambung dan menangkap bola secara berpasangan. Pemain A melambung bola untuk pemain B. Pemain B melompat dan menangkap bola dengan gaya rejaman dari luar gelanggang seperti latihan (4). 

6.Melompat dan menangkap bola yang selari dengan jaring. Jurulatih melambung bola selari dengan jaring kepada pemain B. Pemain B berlari menuju jaring, melompat dan menangkap bola dengan gaya rejaman. 

7. Merejam bola yang dilambung. Perlakuan adalah sama seperti latihan (6), tetapi pemain memukul bola perlahan. Ketinggian bola adalah lebih kurang satu meter dari aras atas jaring. 

8. Merejam kuat bola yang dilambung. Ulang latihan (7). Tetapi dalam latihan ini bola dipukul dengan lebih kuat lagi. 

Latihan Mengadang Bola 

1. Bola yang dipegang. Pemain A memegang bola dengan kedua-dua tangan sambil menghulurkannya ke atas. Pemain B cuba mengadang bola dengan dua tangan. Ulang perlakuan ini 10 kali dan tukar peranan selepas itu. 

2. Bola yang digerakkan. Ulang Latihan 1. Pemain A menggerakkan bola ke kanan dan ke kiri. Pemain B cuba mengadang bola itu dengan dua belah tangan. Ulang 10 kali dan tukar peranan selepas itu. 

3. Mengadang tanpa bola. Pemain berdiri di depan jaring dan cuba melompat setinggi yang boleh untuk melakukan adangan dengan kedua-dua belah tangan tanpa bola. Kemudian, pemain bergerak ke kanan dan ke kiri sambil melakukan perlakuan yang sama. 

4. Menyentuh bola di atas jaring. Ulang latihan 3. Kali ini pemain melompat dan menyentuh bola yang dipegang oleh rakan di sebelah jaring seakan-akan melakukan adangan. Ulang sebanyak tiga kali dan bertukar peranan dengan
rakan. 

5. Mengadang bola yang dihantar dari sebelah jaring. Pemain A berdiri di hadapan jaring dengan postur mengadang. Pemain B menghantar bola ke atas jaring untuk ditangkap oleh pemain A. Pemain A menangkap bola dan menghantarnya kepada pemain B sebelum menjejak kaki di gelanggang. Ulang tiga kali dan tukar peranan dengan rakan. 

6. Mengadang bola secara berpasangan. Tiga pemain berdiri di atas kerusi sambil memegang bola. Bola-bola dihulur melepasi aras atas jaring. Dua pemain melompat serentak untuk menyentuh bola tanpa menyentuh jaring. Kedua-dua pemain membuat tiga lompatan dan selepas itu bertukar peranan selepas tiga lompatan. 

7. Mengadang dalam kumpulan empat orang. Empat pemain atau dua pasangan berhadapan dengan dua orang dalam satu gelanggang. Semua pemain bergerak ke jaring dan membuat lompatan melompat sambil
menyentuh rakan atau pasangan masing-masing. Ulang beberapa kali sambil bergerak ke sisi. 

8. Mengadang seorang-berdua-bertiga 

a) Ketiga-tiga pemain X1,X2 dan X3 melompat setempat dan serentak untuk mengadang. 

b) Pemain X2 bergerak ke sisi pemain X1. Ketiga-tiga pemain melompat serentak apabila pemain X2 tiba di sisi pemain X1. 

c) Pemain X2 bergerak ke kedudukan asal dan ketiga-tiga pemain melompat serentak. 

d) Pemain X2 bergerak ke sisi pemain X3 dan ketiga-tiga pemain melompat serentak apabila pemain X2 tiba di sisi pemain X3. 

e) Pemain-pemain X1, X2 dan X3 bergerak ke tengah dan melompat serentak. 

f) Pemain X1 dan X3 bergerak ke tempat asal dan melompat serentak bersama pemain X2 

9. Ulang latihan 8 dengan menggunakan tiga biji bola. Tiga orang pemain berdiri di atas bangku sambil memegang bola. 

10. Jurulatih melambung bola kearah perejam untuk membuat rejaman dari sebelah gelanggang. Dua orang pemain cuba mengadang bola dari sebelah gelanggang lain.

IMPLIKASI PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK SEMASA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DARI SEGI KOGNITIF DAN DAN SOSIO-EMOSI.

1.0         PENGENALAN
Kebanyakan kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan mempunyai latar belakang bahasa yang berbeza.  Guru mestilah peka terhadap perkembangan  bahasa kanak-kanak supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengoptimumkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh (Spodek, 1994).

1.1         Perkembangan Bahasa Kanak-kanak
Semua bentuk bahasa merangkumi bentuk verbal, non-verbal serta tulisan adalah termasuk dalam perkembangan bahasa kanak-kanak dan penting untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
                        Perkembangan bahasa memerlukan kemahiran pembelajaran dan berkembang selari dengan kognitif dan sosio-emosi. Perkembangan bahasa kanak-kanak berlaku sejak lahir dan terus berkembang seiring dengan meningkatnya usia dan kematangan kanak-kanak.
                        Jadual 1.1 menunjukkan ciri am perkembangan bahasa kanak-kanak yang diadaptasi daripada (1) Weitrn W. (1994), Pyscology; (2) Ber L. E. (2005), Infants, Children and Adolescents.



Umur  dan Ciri Am Perkembangan Bahasa 

1-5 bulan 
Menangis yang tidak dibezakan. Bunyi vocal dibuat secara rawak, senyum, ketawa dan melibatkan sendiri dalam main vokal yang digemari. 


6-13 bulan 
Suara rupa bebelan, membuat respons verbal meniru orang lain, hingga hampir sama pola verbal manusia. Kira-kira 8 bulan, bayi boleh memahami beberapa kata orang. 


10-13 bulan 
Ucap kata pertama: pembangunan kata tipikal merujuk objek daripada tindakan. 


12-18 bulan 
Peringkat menggunakan satu perkataan mewakili satu ayat, kebanyakannya kata nama, termasuk bunyi bebelan serupa denagn kata komunitinya. 


2 tahun 
Peringkat menggunakan 2 perkataan untuk mewakili ayat. Boleh kata dengan ayat mudah, kebanyakannya kata ganti nama, sedikit kata kerja.bBoleh guna 50-200 kata sebagai percakapan. 


2-5 tahun 
Boleh guna tiga perkataan untuk mewakili ayat. Percakapan telegrafik. 


3 tahun 
Boleh guna struktur ayat aktif mudah dan gunakan ulangan perkataan untuk mewakili lebih daripada satu. Boleh bercerita yang difahami orang lain. 


4 tahun 
Boleh menggunakn percakapan khayal dan 5 perkataan untuk mewakili sesuatu ayat. 


5 tahun 
Boleh susun kata kompleks dan bercerita dengan kata sintaksis. 


6-12 tahun 
ü Berupaya memikir bahasa sebagai satu system.
ü Perbendaharaan kata bertambah 4 kali ganda iaitu 40,000 perkataan, purata belajar 20 perkataan/hari.
ü Deskripsi konkrit (umur 6 tahun)untuk merujuk fungsi atau rupa.
ü Pendekatan analitik dan reflektif terhadap bahasa membolehkan kanak-kanak menggunakan perkataan yang lebih bermakna.
ü Menguasai bahasa gramatis yang kompleks, berkembang daripada ayat aktif kepada ayat pasif.
ü Meggunakan ayat dengan lebih kreatif daripada frasa mudah kepada frasa kompleks.


12-18 tahun 
Berupaya memahami bahasa.
Kefahaman dan penggunaan ayat kompleks terus ditambah.
Berupaya mengubah suai stail kata berdasarkan situasi.
Boleh membaca dan menginterpretasi literatur dewasa. 


2.0         PERBANDINGAN PERKEMBANGAN BAHASA ANTARA EMPAT ORANG SAMPEL KAJIAN

Sampel kajian yang dipilih adalah empat orang murid atau kanak-kanak dengan pelbagai latar belakang, dari Tahun 1 Arif, SK. Seri Terentang, Pekan, Pahang. Keseluruhannya, sampel kajian begitu memuaskan dan pengaruh loghat tempatan juga jelas didapati untuk kesemua sampoel kajian.


2.1         Sampel Kajian A

Sampel kajian A ialah kanak-kanak lelaki. Latar belakang kanak-kanak A, bapanya hanya seorang buruh dan ibunya suri rumah. Walaubagaimanapun, kanak-kanak A mempunyai kemajuan bahasa yang lebih kehadapan berbanding kanak-kanak B, C dan D berdasarkan pemerhatian dan temubual yang telah penulis jalankan.
Respon yang ditunjukkan kanak-kanak A sangat memuaskan terutama terutama Ujian Ingatan Memori Verbal, kanak-kanak A lulus kesemua 3 ujian bahasa. Bahasa yang digunakan juga menampakkan kematangan dibandingkan rakan-rakan seusia yang lain.
Kosa kata kanak-kanak A juga lebih baik berbanding rakan-rakan lain dalam kelas. Kanak-kanak A juga aktif mengambil bahagian dalam perbualan.

2.2         Sampel Kajian B
Sampel kajian B juga kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak B aktif dalam perbualan bersama rakan-rakan sekelas tetapi berbanding kanak-kanak A, kanak-kanak B tidak mempunyai memori verbal yang begitu kuat.
Berdasarkan ujian bahasa yang telah dijalankan oleh penulis, skor Ujian Bahasa tidak melayakkan kanak-kanak B untuk meneruskan ujian terakhir bagi memori verbal.

Bagi kanak-kanak B, latar belakang keluarganya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak A. Bapa kanak-kanak  B bekerja sebagai Penolong Pegawai Penyelia Makanan di hospital dan ibunya juga bekerja sebagai kerani.

2.3         Sampel Kajian C
Kanak-kanak C ialah seorang kanak-kanak perempuan. Bapanya bekerja sebagai guru dan ibunya seorang suri rumah. Kanak-kanak C mempunyai memori verbal lemah dan tidak berjaya untuk memperoleh markah minimum ujian verbal.
Kanak-kanak C juga sangat pasif dalam kelas dan akan memberi respon apabila mendapat ransangan atau stimulan dari orang sekeliling. Jarang untuk kanak-kanak C memulakan dahulu sesuatu sesi perbualan.

2.4         Sampel Kajian D
Kanak-kanak D mempunyai latar belakang di mana kedua-dua ibu bapanya ialah guru. Kanak-kanak D lebih responsif dalam perbualan berbanding kanak-kanak C.
            Skor ujian bahasa juga menunjukkan penguasaan bahasa kanak-kanak D lebih baik berbanding kanak-kanak C. Kanak-kanak D juga lebih cenderung untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh rakan-rakan lain dalam kelas.

2.5         Rumusan
Perkembangan bahasa keempat-empat sampel adalah berbeza dan dipengaruhi banyak faktor. Namun terdapat persamaan antara keempat-empat sampel kajian iaitu kesemua mereka tidak dapat mengingati tarikh lahir mereka dengan lengkap. Hal ini mungkin disebakan oleh bebarapa faktor lain yang akan dibincangkan selepas ini.      
        
3.0         FAKTOR - FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERINGKAT PERKEMBANGAN  BAHASA  KANAK-KANAK

Pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa kanak-kanak. Jika dilihat secara kasar, ibu bapa yang lebih berpendidikan biasanya mempunyai anak-anak dengan perkembangan bahasa yang lebih baik berbanding anak-anak dengan ibu bapa yang kurang berpendidikan.
                        Namun terdapat juga perkara yang sebaliknya. Hal ini dapat diterangakn dengan meneliti dan membuat perbandingan antara beberapa teori perkembangan kanak-kanak.
                        Antara faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa kanak-kanak ialah mereka meniru apa yang orang dewasa dan sekeliling mereka ucapkan teutama ibu bapa mereka.
                        Hal ini telah diutarakan oleh Burrhus Frederic Skinner pada 1957 dalam teori dan perspektif behaviorisme yang dipelopori beliau. Beliau menyatakan tentang kanak-kanak atau bayi meniru bunyi atau perkataan yang orang dewasa hasilkan.
Skinner mementing konsep peneguhan terutama oleh ibu bapa terhadap anak mereka kerana dengan peneguhan kanak-kanak akan mendapat kesedaran penggunaan bahasa yang betul. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam menyediakan kosa kata kepada anak-anak mereka.
Kanak-kanak juga sering meniru sekeliling mereka dalam memperkembangkan bahasa mereka. Ini termasuklah percakapan orang dewasa, penggunaan bahasa ‘sistem pesanan ringkas’ atau SMS dan sebagainya.
Perkara ini ada dibincangkan dalam teori perkembangan bahasa mengikut perspektif Nativisme yang dipelopori oleh Noam Chomsky pada 1957 yang menyatakan bahawa kemahiran bahasa kanak-kanak adalah dipahatkan dalam struktur otak mereka.
Menurutnya lagi, kanak-kanak nenperoleh bahasa secara semula jadi, tidak bergantung kepada pelaziman operan seperti yang dicadangkan ahli Behaviorisme. Hal ini disokong teori Roger Sperry pada 1981 tentang otak kiri dan kanandengan fungsi kemahiran tersendiri iaitu KRITIS dan KREATIF.
Hal ini adalah berkenaan kognitif. Orang dewasa membantu meluaskan penggunaan dan kemahiran bahasa melalui interaksi, maklum balas pembentukan dan percantuman.
Menurut Howard Gardner (1991), pensyarah di Universiti Harvad, Amerika Syarikat, potensi manusia mempunyai lapan kecerdasan dalam dirinya iaitu linguistic, logical-matematikal, ruang, muzik, tubuh kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis.
Kecerdasan linguistic merangkumi kecerdasan membaca, mengguna perbendaharaan kata, tulisan kreatif, puisi, perbahasan, jenaka dan bercerita. Semua ini adalah berkaitan denagn perkembangan bahasa.
Kanak-kanak juga menjadi pemerhati yang baik- menjadikan perkembangan bahasa mereka meningkat. Hal ini dinyatakan dalam teori  interaksionalisme, interaksi dengan potensi dan pengaruh alam sekitar.


4.0         IMPLIKASI PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DARI SEGI  PERKEMBANGAN KOGNITIF DAN SOSIO-EMOSI.
Perkembangan bahasa kanak-kanak terhadap pengajaran dan pembelajaranmemberikan implikasi dari segi perkembangan kognitif dan sosio-emosi.
                        Dari segi perkembangan kognitif, bahasa menjadi perantara terpenting dalam perkembangan kognitif sebagai penyampai ilmu. Dengan bahasa, kanak-kanak dapat menginterpretasi sesuatu. Pembinaan ilmu dan penguasaan kemahiran adalah melalui interaksi sosial dan aktiviti sosiobudaya.
                        Kanak-kanak dapat memperoleh ilmu secara penaakulan dengan adanya bahasa. Kanak-kanak juga dapat membuta keputusan dan penilaian dalam memikirkan sesuatu penyelesaian.
                        Dalam penyelesaian masalah, individu akan memahami, mengadaptasi dan mengasimilasinya sebagai tidak balas dan diterjemahkan melalui bahasa. Oleh sebab itu, bahasa amat penting dalam proses P&P dari segi perkembangan kognitif.
                        Oleh itu, guru hendaklah mengajar murid dengan melibatkan murid secara aktif dalam pembelajaran. Bahasa yang digunakan juga perlulah mengikut kesesuaian dan tahap perkembangan kanak-kanak.
                        Bagi perkembangan sosio-emosi pula, perkembangan bahasa dapat  membantu murid memngenal pasti jemis emosi mereka denagn menaytakan atau menggambarkan apa perasaan atau apa yang mereka rasa dengan perkataan.
                        Guru juga sepatutnya mampu menguasai kemahiran menyelesaikan masalah melalui gerak balas yang ditunjukkan oleh murid. Guru juga perlu membuat pengukuhan terhadap apa ynag diajarkan kepada murid-murid. Selain itu guru perlu memotivasikan murid supaya lebih minat belajar dan elakkan perlakuan negatif.

5.0         KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa kanak-kanak. Walaupun terdapat perbezaan terutama dari segi teori, kita boleh melihat idea-idea tersebut secara keseluruhan dengan menggabungjalin semuanya dan mensintesiskan sesuatu yang baru kerana dengan melihat hanya satu teori atau perspektif sahaja tidak mencukupi.
                        Perkembangan bahasa kanak-kanak bukan sahaja dipengaruhi factor biologikal atau interaksi sosial, tetapi dikembangkan melalui proses pelazaiman yang mengalakkan pengulangan bahasa yang kaya.
                        Guru juga perlu membuat pengukuhan terhadap apa ynag diajarkan kepada murid-murid. Selain itu guru perlu memotivasikan murid supaya lebih minat belajar dan elakkan perlakuan negatif.Guru juga sepatutnya mampu menguasai kemahiran menyelesaikan masalah melalui gerak balas yang ditunjukkan oleh murid.



Bersama subjek kajian

Pemerhatian

Pemerhatian

Saturday, March 3, 2012

Ku ke Udara Lagi

03/03/2012, Sabtu- Setelah lama menyepi, aku ke udara lagi... (Tajuk lagu Francesca Peter) hehe.. Aku mula berhenti update masa aku uruskan Ilmu Khas Carnival of Nasyeed (I-CoN'11)di maktab aku. Lepas sehari ke sehari aku pun tinggalkan blog ni.. Jadi seperti juga blogger2 lain, bila lama tinggal mood untuk menulis pun lari jauh.


     InsyaAllah, selepas ini aku akan kembali update kurang2 pun sekali seminggu. Dan kepada semua, aku akan mula dari cerita I-CoN'11 sebagai entry pembuka untuk tahun ini.


     Isnin depan aku ke sekolah di PD, jalan Pantai. Jadi, kita akan bertemu semula minggu hadapan :) Rasanya cukup sampai disini dahulu.. Maaf kerana lama "tidak berlagu".


Sekadar perkongsian dan luahan
~Bila Ku Berlagu~


SS: Mohon kepada Allah dilapangkan dan dipermudahkan segala urusan. Selama ini banyak dugaan sampai lama tak update..

Friday, March 2, 2012

Maaf...

Kepada semua silent readers, maaf kerana dah lama tak update blog ni... insyaAllah lepas cuti hujung bulan ni saya akan cuba aktif semula.. Rupanya ramai yang PM dan bertanya mengapa tidak update dan bila akan update... Maaf sekali lagi dan saya akan cuba update dengan perkongsian yang lebih menarik dan kelainan konsep...

SS: bila sibuk memanjang...