Asal Usul
Perkataan ‘nasyid’ atau ‘insyad’ dihasilkan daripada
perkataan ‘nasyada’ dan kemudiannya menjadi ‘ansyada’ yang bermaksud berpuisi,
bersajak, bersyair, mengalun suara atau berzikir. Lagu-lagu nasyid adalah dendangan syair
berirama Padang Pasir yang bertemakan Islam, bertujuan menyampaikan dakwah.
Nasyid terulung yang pernah direkodkan dalam sejarah Islam
ialah semasa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah. Baginda disambut dengan nyanyian lagu nasyid
‘Tola’al Badru’. Di Malaysia, kegiatan
nasyid diperkembangkan oleh para qari dan qariah yang telah menerima didikan
ajaran Al-Quran secara langsung atau tidak langsung sejak sebelum Perang Dunia
Kedua pada tahun 1940.
Nasyid pada asalnya didendangkan secara tidak rasmi di
perkarangan rumah selepas mengaji al-Quran dalam keadaan duduk di atas lantai
secara berkeliling. Guru-guru mengaji,
sementara murid bernasyid - proses pengajaran dan pembelajaran adalah secara
peniruan (rote) dan secara berbalas-balas (call and response).
Persembahan
Pada masa ini, nasyid dipersembahkan secara kumpulan besar,
kumpulan kecil dan secara individu atau solo di atas pentas dengan cara berdiri
dalam barisan berkumpulan lelaki dan/ atau perempuan. Persembahan dalam
kumpulan biasanya terdapat penyanyi solo yang menyanyikan bahagian melodi
tertentu dalam sesebuah lagu. Semasa
persembahan, ada kumpulan yang langsung tidak membuat sebarang pergerakan dan
ada juga yang membuat sedikit pergerakan yang tertib sesuai dengan mesej atau
senikata lagu dengan tidak berlebih-lebihan atau tidak melampaui batas
kesopanan. Cara berpakaian setiap ahli
nasyid biasanya mencerminkan budaya Islam.
Muzik
Lagu-lagu nasyid biasanya berlandaskan melodi Timur Tengah
seperti Bayyati, Rast, Nahawand, Hijaz, Saba, Kurd, Sikah dan ‘Ajim yang
digunakan dalam pembacaan al-Quran. Kebiasaannya
nada yang digunakan ialah nada minor.
Walau bagaimanapun pencipta lagu nasyid pada masa ini, tidak lagi
menghadkan ciptaan mereka dalam nada minor sahaja, malahan menggunakan juga
nada major.
Lagu-lagu nasyid lazimnya dalam bentuk AAAA, AAAB, AABA dan
ABCD dan mempunyai tekstur monofonik.
Rentak yang biasa digunakan ialah rentak masri. Kini, banyak lagu-lagu nasyid telah digubah
dalam berbagai rentak supaya lebih banyak variasi dan kedengaran lebih
menarik.
Pada asalnya nasyid di Malaysia menggunakan senikata dalam
bahasa Arab Klasik tetapi kemudiannya berkembang dengan penggunaan bahasa
Melayu dan juga bahasa Inggeris.
Pada peringkat permulaan nasyid diperkenalkan, ia
dipersembahkan secara a capella iaitu tanpa menggunakan muzik
iringan. Perkembangan muzik sezaman
kemudiannya juga turut mempengaruhi nasyid dan mula menggunakan alat-alat muzik
membranofon seperti rebana dan kompang pada zaman 1940-an sebagai muzik
iringan; pada tahun 1950-an nasyid diiringi oleh kumpulan ghazal atau asli;
pada tahun 1960-an oleh kugiran; pada tahun 1970-an oleh orkes dan seterusnya
oleh orkestra sehinggalah penggunaan sintesizer dan juga muzik ‘minus one’.
Fungsi
Fungsi utama nasyid ialah untuk menyampaikan dakwah
mengingatkan manusia khususnya kaum muslimin mengenai ajaran-ajaran al-Quran
dan Hadith Nabi Muhammad S.A.W serta menerapkan nilai kehidupan, moral dan
akhlak yang baik. Selain dari itu, ia
juga menjadi hiburan dan sebagai acara sampingan sempena pertandingan membaca
al-Quran peringkat negeri, kebangsaan, antarabangsa dan juga dalam
majlis-majlis yang lain. Pada tahun
1990-an, nasyid mula dipertandingkan di peringkat sekolah, negeri dan juga
kebangsaan.
Nasyid Malaysia
Nasyid di Malaysia
mengalami perkembangan yang pesat sehinggalah wujudnya fenomena baru iaitu
industri muzik nasyid melalui kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan,
Brothers, Rabbani, Hijjaz, Huda, dan juga penyanyi-penyanyi nasyid perseorangan
seperti An-Nur, Imad, Khairil Johari Johar, Sharifah Aini dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment