Tuesday, November 2, 2010

DIARI SENJA

18/6/2009, Khamis - 09.22malam.
     "Mat, pegi beli minyak rimau jap, tok sakit perut.. Kang tutup plak Tunas Manja..." ibu saudaraku menggesa aku. Aku bingkas bangun, mengambil kunci motor dan helmet atas meja di bilik, mencapai duit yang telah ditinggalkan atas meja oleh ibu saudaraku. Aku sempat menjeling nenek aku yang berbaring di ruang tengah rumah. Dalam renyai hujan malam tu, aku redah.. Aku akui memang agak berat masa tu, sebab aku sudah hampir lelap malam tu..

     Sampai di Tunas Manja, aku pun terus ke kaunter dan mengambil balsem cap Tiger yang sering nenek aku gunakan. Aku keluarkan RM5 dari poket, aku tambahkan lagi sehingga genap RM5.80... Selesai bayar, aku cepat-cepat beredar, hujan mungkin akan lebat..

     Tiba di rumah, aku letakkan balsem tu di tepi bantal tempat nenek aku berbaring. "Demam pulok haa kawan ni..." nenek ku bersuara lemah.. "Hurm" aku mengangguk.. Entah kenapa malam itu aku seakan-akan mengelak untuk berada dekat dengan nenek aku.. Hatta sudah dekat seminggu nenek aku tak sihat...

********************

Lewat tengah malam itu, aku dikejutkan suara yang berteriak memanggail aku.. Aku segera bangun.. Nenek aku memanggil aku.. Aku segera mendapatkannya.. Dia minta dipicit-picit, bisa-bisa badan katanya.. Lalu aku menemannya sehinggalah aku tertidur..



19/6/2009, Jumaat - 10.00pagi.   
     Sakitnya semakin menjadi-menjadi... Muntah-muntah pula.. Aku agak risau.. Ibu saudaraku yang datang menziarah, mahu membawanya ke klinik, tetapi dia enggan.. Ibu aku juga pulang dari Kuantan ke Pekan untuk menjengah.. (ibu aku bekerja di Hospital Kuantan; aku, nenek dan ibu saudara tinggal di Pekan). Tiap-tiap kali nenek mahu ke tandas atau menunaikan solat, kami akan memapahnya...
     
     Petang itu, kebetulan ada saudara dari jauh datang... Mereka pun menziarahi nenek bila tahu dia sakit.. Macam-macam barang yang dibawa,  diberikan kepada nenek.. (saudara ini menjual produk HPA).. Lalu aku terperasan, semua benda yang nenek aku idamkan semuanya dapat, melihatkan barang yang dibawa saudara aku.. Antaranya berus gigi baru, sabun mandi.. 2-3 hari sebelum ni pun ada saje orang datang menghantar makan, buah-buah atau apa saja yang tersebut di mulut nenek aku... " Tengok, mende hok Tok nak seme dapat... Sebab tu aku suruh tak tinggal semayang Dhuha.." , masih aku ingat kata-kata tu..

     Lewat petang pula, nenek memanggil aku dan berpesan, "Mat, kain batik tok hok batik lepas dalam almari, dah siap bungkus, belah bawah... Kala nak pakai ke ambik kat situ je.. Mengkane baru dah hanger, kat tempat sangkut baju.." Aku pun mengiyakan aje tanpa mengesyaki sesuatu, cuma tertanya-tanya kenapa perlu diberitahu semua itu...




20/6/2009, Sabtu -  9.00 pagi.   
     Hari ini tiba-tiba nenek aku sihat.. Cergas geraknya tanpa perlu dipapah.. Dia bangun, mandi sendiri. Dia pun menunaikan solat Dhuha.. Selesai itu, dia pun membaca al-quran, menghabiskan surah-surah yang belum dikhatam... Tanpa perlu memakai cermin mata, dia boleh membaca dengan lancar.. Hairan!

     Selesai solat asar, aku pun bersiap-siap untuk pergi ke Tanjung Gosong, tapak perkhemahan tempat aku bekerja sambilan semenjak aku tamat SPM.. Perkhemahan Sekolah Agama Rakyat Daerah Pekan yang telah dirancang seminggu awal bersama kawanku. Nenek aku menegah aku untuk pergi, katanya tiada teman di rumah sedangkan pada masa itu ibu saudaraku ada bersama..

     Mungkin pengaruh jiwa muda, aku tidak hiraukan kata-katanya lalu terus menghidupkan motor, bergerak ke Tanjung Gosong, walaupun petang itu aku nampak seperti dia tidak sihat semula.. Aku terus pergi...

********************

     Sampai di sana, aku pun memulakan kerja-kerja biasa sebagai pembantu kem.. Memasang khemah, saluran air, lampu di tapak khemah dan lain-lain.. Sehingga lewat petang, aku masih belum selesai dengan kerjaku...

     Tiba-tiba, telefon aku berbunyi. Aku pun menjawab panggilan tersebut.. Aku hanya dengar suara tangisan teresak-esak.. Aku berdebar,"kenapa ni, tiba-tiba menangis?", aku tertanya-tanya..
     "Abang, tok masuk hospital! Kat kecemasan.. Cepat la balik..! ", ibu saudarku memberitahu.. Terus aku berlari mencapai beg di pejabat kem, aku hidupkan motor, pantas aku ke Hospital Pekan.. Rakan-rakan pelik melihat aku... Aku rasa itulah kali pertama aku bawa motor paling laju!

********************

     Sampai di hospital, aku terus ke Wad Kecemasan.. Lalu aku terserempak dengan bapa saudaraku yang bekerja di situ.. "Tok kat aner, Pak Cik Sazali?"  Dia menjuihkan mulutnya kearah dalam tempat kecemasan.. Aku mengintai di tepi pintu..

     Tiba-tiba aku nampak sekujur tubuh yang ditutup selimut putih di atas sebuah katil.. Di sisi katil itu aku lihat ibu saudaraku menangis sambil membaca Yaasin.. Tiba-tiba badan aku lemah, kaki tidak terasa seperti jejak ke bumi, kebas seluruh badan... Tanpa aku sedari air mata mengalir deras...

     Aku berlari keluar wad kecemasan seakan tidak percaya dengan apa yang aku lihat... Aku menelefon sesiapa sahaja yang terlintas di fikiran, sambil tertanya benarkah apa yang aku lihat! Aku masuk semula ke wad.. Ibu saudara aku yang melihat aku terus memeluk aku... Semakin banyak air mata aku mengalir setelah ibu sauadaraku mengiyakan apa aku lihat...

     Aku terjatuh ke lantai, tidak mampu bergerak, hanya raungan dan air mata yang aku mampu keluarkan.. pada ketika itu juga saudara-mara sampai di hospital.. Dalam sayup-sayup azan Maghrib, aku dipapah masuk ke dalam kereta, dibawa pulang ke rumah. seakan-akan hilang akal, aku tidak mampu melakukan apa-apa...

     Itulah yang berlaku... Aku merasa seperti hilang tempat bergantung, seperti tidak guna lagi hidup di dunia... Rapatnya aku dengan nenek aku yang aku pangil TOK... Terpisahlah aku dengannya buat selamanya.. Sehingga kini aku masih tidak mampu untuk menahan sedih... Aku sering teringatkannya setiap kali aku kesorangan... Setiap kali aku pulang bercuti, aku masih membayangkan dia ada di rumah, menyambut kepulanganku seperti sebelum-sebelum ini... 



Dengan titisan air mata, aku kongsikan kisah sebenar aku dan Nendaku, AlMarhumah Hajah Norulhuda bt. Abu Bakar, (1936-2009)...
Aku sentiasa merindui beliau...

1 comment:

nidapink90 said...

moga anda terus sabar n tabah.. saya juga amat sygkan tok sy, harap umurnya panjang sbb sy pun x dpt nk bygkan apa jadi dgn sy jikalau dia sudah tiada. amat x sggup.. kerna sy cucu sulong yg amat manja dan rapat dgn wan n tok..