Saturday, September 22, 2012

NASYID


Asal Usul
Perkataan ‘nasyid’ atau ‘insyad’ dihasilkan daripada perkataan ‘nasyada’ dan kemudiannya menjadi ‘ansyada’ yang bermaksud berpuisi, bersajak, bersyair, mengalun suara atau berzikir.  Lagu-lagu nasyid adalah dendangan syair berirama Padang Pasir yang bertemakan Islam, bertujuan menyampaikan dakwah.
Nasyid terulung yang pernah direkodkan dalam sejarah Islam ialah semasa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah.  Baginda disambut dengan nyanyian lagu nasyid ‘Tola’al Badru’.  Di Malaysia, kegiatan nasyid diperkembangkan oleh para qari dan qariah yang telah menerima didikan ajaran Al-Quran secara langsung atau tidak langsung sejak sebelum Perang Dunia Kedua pada tahun 1940.
Nasyid pada asalnya didendangkan secara tidak rasmi di perkarangan rumah selepas mengaji al-Quran dalam keadaan duduk di atas lantai secara berkeliling.  Guru-guru mengaji, sementara murid bernasyid - proses pengajaran dan pembelajaran adalah secara peniruan (rote) dan secara berbalas-balas (call and response). 

Persembahan
Pada masa ini, nasyid dipersembahkan secara kumpulan besar, kumpulan kecil dan secara individu atau solo di atas pentas dengan cara berdiri dalam barisan berkumpulan lelaki dan/ atau perempuan. Persembahan dalam kumpulan biasanya terdapat penyanyi solo yang menyanyikan bahagian melodi tertentu dalam sesebuah lagu.  Semasa persembahan, ada kumpulan yang langsung tidak membuat sebarang pergerakan dan ada juga yang membuat sedikit pergerakan yang tertib sesuai dengan mesej atau senikata lagu dengan tidak berlebih-lebihan atau tidak melampaui batas kesopanan.  Cara berpakaian setiap ahli nasyid biasanya mencerminkan budaya Islam.

Muzik
Lagu-lagu nasyid biasanya berlandaskan melodi Timur Tengah seperti Bayyati, Rast, Nahawand, Hijaz, Saba, Kurd, Sikah dan ‘Ajim yang digunakan dalam pembacaan al-QuranKebiasaannya nada yang digunakan ialah nada minor.  Walau bagaimanapun pencipta lagu nasyid pada masa ini, tidak lagi menghadkan ciptaan mereka dalam nada minor sahaja, malahan menggunakan juga nada major. 
Lagu-lagu nasyid lazimnya dalam bentuk AAAA, AAAB, AABA dan ABCD dan mempunyai tekstur monofonik.  Rentak yang biasa digunakan ialah rentak masri.  Kini, banyak lagu-lagu nasyid telah digubah dalam berbagai rentak supaya lebih banyak variasi dan kedengaran lebih menarik. 
Pada asalnya nasyid di Malaysia menggunakan senikata dalam bahasa Arab Klasik tetapi kemudiannya berkembang dengan penggunaan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.
Pada peringkat permulaan nasyid diperkenalkan, ia dipersembahkan secara a capella iaitu tanpa menggunakan muzik iringan.  Perkembangan muzik sezaman kemudiannya juga turut mempengaruhi nasyid dan mula menggunakan alat-alat muzik membranofon seperti rebana dan kompang pada zaman 1940-an sebagai muzik iringan; pada tahun 1950-an nasyid diiringi oleh kumpulan ghazal atau asli; pada tahun 1960-an oleh kugiran; pada tahun 1970-an oleh orkes dan seterusnya oleh orkestra sehinggalah penggunaan sintesizer dan juga muzik ‘minus one’.

Fungsi
Fungsi utama nasyid ialah untuk menyampaikan dakwah mengingatkan manusia khususnya kaum muslimin mengenai ajaran-ajaran al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad S.A.W serta menerapkan nilai kehidupan, moral dan akhlak yang baik.  Selain dari itu, ia juga menjadi hiburan dan sebagai acara sampingan sempena pertandingan membaca al-Quran peringkat negeri, kebangsaan, antarabangsa dan juga dalam majlis-majlis yang lain.  Pada tahun 1990-an, nasyid mula dipertandingkan di peringkat sekolah, negeri dan juga kebangsaan.

Nasyid Malaysia
Nasyid  di Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sehinggalah wujudnya fenomena baru iaitu industri muzik nasyid melalui kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan, Brothers, Rabbani, Hijjaz, Huda, dan juga penyanyi-penyanyi nasyid perseorangan seperti An-Nur, Imad, Khairil Johari Johar, Sharifah Aini dan lain-lain.

Monday, September 17, 2012

Mentari Terbenam

17/09/2012, Sabtu - Lama betul tak jenguk blog ni... Sekian lama 'tertinggal', sukar untuk memulakan semula. Blog yang menjadi segala curahan, perkongsian, luahan dan bermacam-macam lagi, terbengkalai begitu sahaja...

          Seperti Mentari Terbenam, hilang begitu sahaja. Namun, aku menunggu masa untk terbit kembali, memberikan sinaran...

Bilakah mentari terbenam akan terbit kembali.....


Menanti penuh harapan...
Semoga kekuatan itu kembali... Begitu banyak kisah dan pengalaman yang aku ingin kongsikan, namun kesempatan itu yang sedang aku cari di celahan ruang yang ada ini....

~Bila Ku Berlagu~